[Ulasan] HONOR 9X – Peranti Pertama HONOR Dengan Sokongan Kamera Depan Terangkat

[Ulasan] HONOR 9X – Peranti Pertama HONOR Dengan Sokongan Kamera Depan Terangkat

Sejak HONOR 8X dilancarkan secara rasmi di pasaran, ia telah berjaya mendapat sambutan yang sangat positif dari pengguna global. Malah dalam tempoh lebih kurang enam bulan berada di pasaran ia telah berjaya mencatatkan jualan lebih 10 juta unit di seluruh dunia. Menariknya Julai 2019 yang lalu HONOR 9X telahpun dilancarkan secara rasmi di China.

Namun berbeza dengan varian untuk pasaran China, HONOR 9X untuk pasaran Malaysia telah tampil dengan sedikit kelainan dari segi sokongan spesifikasinya. Jadi dengan kelainan tersebut, adakah ia akan menjadi penyebab yang mendorong anda sama ada ingin memiliki peranti terbaharu daripada HONOR ini ataupun tidak?!

Rekaan Fizikal

HONOR 9X dilihat masih mengekalkan ciri rekaan skrin besar iaitu berukuran 6.59 inci (6.5 inci pada HONOR 8X). Namun begitu, rekaan panel IPS LCD FHD+ pada HONOR 9X kelihatan lebih moden kerana ia tidak lagi didatangkan dengan sokongan takuk ataupun lubang kamera pada skrin.

Menariknya HONOR buat pertama kalinya telah menggunakan rekaan kamera depan terangkat pada HONOR 9X yang kelihatan mirip rekaannya seperti kamera depan pada HUAWEI Y9 Prime. Kamera depan 16MP yang disokongnya telah tersedia dengan sokongan mod AI dan juga Screen Flash yang boleh digunakan dalam persekitaran gelap dengan menukarkan paparan skrin ke warna putih.

Anda tidak perlu risau akan risiko untuk kamera terangkat ini untuk rosak kerana HONOR Malaysia telah membuktikan ketahanan kamera depan HONOR 9X yang mampu menahan berat sehingga 15kg. Namun begitu tidak seperti pesaingnya yang lain, proses untuk kamera depan HONOR 9X naik dan turun terasa agak perlahan.

Video Player

00:00
00:12

Walaupun bagaimanapun peranti ini tidak dilengkapi dengan sokongan LED notifikasi, sekaligus menyukarkan pengguna untuk mengetahui status semasa termasuklah notifikasi mesej yang diterima mahupun status pengecasan bateri. Tambahan pula HONOR 9X tidak tersedia dengan fungsi AOD (Always On Display).

Antara perkara yang mendapat perhatian pengguna pada HONOR 9X adalah rekaan panel belakangnya yang menampilkan efek biasan cahaya berbentuk X yang sangat unik, tetapi hanya untuk pilihan warna Sapphire Blue sahaja. Manakala untuk pilihan warna Midnight Black seperti unit ulasan yang kami terima ini, ia tampil dengan kemasan berkilat biasa.

HONOR 9X turut didatangkan dengan sokongan tiga kamera iaitu lensa paling atas merupakan lensa Depth Sensor beresolusi 2MP, lensa kedua 8MP untuk penggambaran sudut luas, dan juga lensa ketiga iaitu lensa utama beresolusi 48MP. Permukaan lensa utamanya yang tidak terlalu timbul sedikit sebanyak mengurangkan risiko tercalar ataupun retak.

Kedudukan slot kad jenis hibrid pada HONOR 9X boleh ditemui pada bahagian atas, dan bahagian bawah kerangkanya pula tersedia dengan bicu audio 3.5mm, port USB Type-C dengan output pengecasan 10W, dan juga speaker mono.

Bahagian kerangka peranti ini diperbuat daripada aluminium dan hanya sisi kanan sahaja digunakan untuk menempatkan butang fizikal iaitu butang melaras volume dan juga butang kuasa. Pada pendapat kami, kepuasan untuk menekan butang fizikal pada peranti ini agak memuaskan.

Apakah penambahbaikan HONOR 9X berbanding HONOR 8X?!

Bagi pemilik sedia ada HONOR 8X yang bercadang untuk bertukar ke generasi baharu HONOR 9X ini, anda sudah tentunya ingin tahu apakah kelebihan ataupun pembaharuan pada peranti ini. Selain daripada kelainan pada rekaan fizikal, berikut adalah perkara yang perlu anda ketahui tentang HONOR 9X:

1. Sokong storan jenis UFS 2.1

HONOR 9X dilihat masih mengekalkan ruang storan sebesar 128GB sama seperti HONOR 8X. Tetapi tanpa anda sedari ia sebenarnya telah menyokong storan yang jauh lebih pantas menggunakan teknologi UFS 2.1. Berdasarkan ujian yang telah kami jalankan, ia mampu menyokong kelajuan Read mencecah lebih 800MB/s berbanding kurang daripada 300MB/s pada HONOR 8X dengan sokongan storang jenis eMMC 5.1 sebelum ini.

Ujian penanda aras AndroBench jelas memperlihatkan sokongan teknologi storan yang jauh lebih laju pada HONOR 9X.

2. Kapasiti RAM 6GB

Jika HONOR 8X hanya dilengkapi dengan RAM berkapasiti 4GB, generasi baharu ini tersedia dengan RAM berkapasiti sebesar 6GB. Sokongan RAM yang lebih besar ini sudah tentunya mampu memastikan pengoperasian beberapa aplikasi secara serentak dengan lebih baik.

3. Tiga kamera dengan sensor Sony IMX582

Selain menampilkan sokongan satu lensa tambahan yang boleh digunakan untuk penggambaran sudut luas beresolusi 8MP, HONOR 9X juga telah menaik taraf keupayaan penggambarannya dengan kamera beresolusi 48MP berbanding hanya 20MP sebelum ini. Apa yang istimewanya, ia menggunakan sensor Sony IMX582 yang sama seperti sensor Sony IMX586 yang digunakan pada sesetengah peranti mercu.

Sebagai rujukan, perbezaan kedua-dua sensor ini adalah Sony IMX582 mampu menyokong rakaman video sehingga 4K 30fps, manakala Sony IMX586 pula menyokong rakaman video sehingga 4K 60fps. Namun disebabkan pemproses yang digunakan oleh HONOR 9X, ia hanya mampu merakam video setakat 1080p 60fps sahaja.

4. Bateri 4000mAh dengan sambungan USB Type-C

Bateri pada HONOR 9X menjanjikan ketahanan yang lebih baik kerana ia memiliki kapasiti bateri 250mAh lebih besar berbanding HONOR 8X. Menariknya ia juga telah menyingkirkan penggunaan port jenis microUSB dan telah digantikan dengan port USB Type-C yang menjanjikan kaedah sambungan yang lebih mudah dan cepat.

Apa yang mengecewakan, proses pengecasan terasa agak perlahan kerana ia sekadar menyokong output pengecasan maksimum setakat 10W sahaja.

Ujian Prestasi

Sebenarnya tiada apa lagi yang perlu diperkatakan tentang keupayaan prestasi HONOR 9X selain daripada sokongan teknologi storan yang lebih laju. Ini berikutan ia masih lagi dioperasikan dengan cipset berasaskan proses 12nm iaitu Kirin 710F yang telah dilancarkan pada Julai 2018 yang lalu.

Untuk pengetahuan anda, cipset Kirin 710F sebenarnya tiada perbezaan prestasi jika dibandingkan dengan Kirin 710 yang digunakan pada HONOR 8X. Apa yang membezakan kedua-dua cipset ini hanyalah pada kejuruteraan rekaannya sahaja.

Hasil Gambar

Pakej Pembelian

Sama seperti peranti HONOR yang lain, HONOR 9X turut didatangkan dengan pakej pembelian yang boleh dikatakan agak asas dan tiada fon telinga dijumpai dalam kotak pembungkusan. Berikut adalah apa yang anda terima apabila membeli HONOR 9X:

  • HONOR 9X
  • Sarung pelindung silikon lut sinar
  • Pelindung skrin (siap dipasang)
  • Palam kuasa 10W
  • Kabel USB Type-C
  • Pin slot kad SIM
  • Buku manual (tiada dalam unit yang kami terima)

Berita baiknya adalah anda akan menerima aksesori perlindungan asas iaitu pelindung skrin dan juga sarung pelindung silikon. Tetapi bagi pengguna yang agak cerewet (terutamanya pengguna OCD), anda mungkin mahukan pelindung skrin baharu kerana ia sangat mudah meninggalkan kesan cap jari dan agak mudah tercalar.

Manakala sarung pelindung silikon yang diberikan pula terasa agak lembut dan ia tidak mampu memberikan perlindungan terbaik untuk paparan skrin. Ini kerana permukaan skrin adalah sangat terdedah kerana bahagian hujung pelindung skrin direka agak rata dengan panel skrin peranti ini.

Video Buka Kotak HONOR 9X:

Spesifikasi HONOR 9X

  • EMUI 9.1 (Android 9.0 Pie)
  • Kirin 710F (12nm)
  • 4x 2.2GHz Cortex-A73 + 4x 1.7GHz Cortex-A53
  • Mali-G51 MP4
  • 6GB + 128GB (UFS2.1)
  • microSD sehingga 512GB (slot SIM 2)
  • 6.59 inci IPS LCD FHD+ HONOR FullView Display (2340 x 1080 piksel)
  • Nisbah skrin-ke-kerangka 91%, Blue Light Filter (TÜV Rheinland-certified)
  • Kamera utama: 48MP (f/1.8) + 8MP (Ultra Wide Angle, f/2.4) + 2MP (Depth sensor)
  • Kamera depan: 16MP (f/2.2, AI, 3D Portrait Lighting, Screen Flash)
  • Rakaman video: 1080p 60/30fps, 720p 30fps
  • Video Slo-Mo: 480fps@720p, 120fps@720p
  • 4000mAh (Pengecasan 10W)
  • USB Type-C, WiFi 802.11n (2.4GHz), Bluetooth 4.2
  • Pengimbas cap jari (panel belakang)
  • 163.5 x 77.3 x 8.8mm / 196.8g
  • Pilihan warna: Sapphire Blue / Midnight Black

Share this post


Your Cart